Dan tibalah saatnya untuk kita berikan cinta ini kepada pemilik yang seterusnya. Hanya kepada si dia, yang halal. Cinta ini adalah lubuk pahala
Bila baju melayu bertemu baju kurung. Hati bergetar. Terasa perasaan yang berlainan. Adakah itu cinta, mungkin ya. Jadi, adakah ia salah?
Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu, lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang, lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.
Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.
Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa. "Prayer is the best armor against all trials".
Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.
"Kerana diri ini sentiasa leka, aku memesan untuk diriku dan berkongsi bersama orang lain. Berkatilah niat ku , ya ALLAH"




0 comments:
Post a Comment